Houthis target Saudi oil as new Middle East frontSANAA: Kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman mendakwa melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron ke atas kemudahan minyak Arab Saudi hari ini, ketika pertempuran antara sekutu serantau Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin memuncak di satu lagi medan konflik.Dalam kenyataan video, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree memaklumkan kumpulan itu menyasarkan kemudahan yang dikendalikan syarikat gergasi minyak Arab Saudi, Aramco di Jizan dan Yanbu, selain mengancam untuk memperluaskan serangan sekiranya kerajaan Arab Saudi terus menyerang mereka.Terdahulu, media Houthi sebelum ini melaporkan serangan di Jizan hingga mencetuskan kebakaran. Rakaman video yang tular di media sosial dan disahkan AFP menunjukkan kepulan asap hitam menjulang tinggi dari sebuah loji penapisan milik Aramco di bandar itu.Setakat ini, Arab Saudi belum mengulas secara langsung mengenai serangan berkenaan, namun pasukan pertahanan awam negara itu mengeluarkan amaran kepada penduduk di Jizan, di pesisir barat daya negara itu serta Yanbu di utara.Pejabat media Tentera Udara Greece memaklumkan sistem pertahanan udara yang dikendalikan anggota negara itu di Arab Saudi berjaya memintas dua peluru berpandu balistik dan sebuah dron yang dilancarkan dari Yaman ke arah Yanbu pada pagi semalam (Sabtu).Kumpulan yang disokong Iran itu sebelum ini menuduh sekutu AS, Arab Saudi, mencetuskan ‘peningkatan berbahaya’ selepas Riyadh melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman pada Jumaat.Sumber keselamatan Yaman memberitahu AFP bahawa pangkalan tentera laut di bandar pelabuhan Hodeida dan sebuah kem tentera di Pulau Kamaran antara sasaran serangan Arab Saudi.Serangan balas terbaharu antara sekutu AS dan Iran itu menandakan pembukaan satu lagi medan konflik di Asia Barat susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari.Seorang penduduk Hodeida, Faiza, 36, yang juga ibu kepada dua anak, berkata bunyi letupan itu ‘seperti dentuman guruh yang kuat’ dan beliau mendengar tiga letupan berasingan.“Saya tidak mahu percaya yang kami kembali berdepan serangan,” katanya.Houthi berperang dengan kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong Arab Saudi sejak 2015, dalam konflik yang mengorbankan ratusan ribu nyawa serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.Bagaimanapun, pertempuran di negara miskin di Semenanjung Arab itu sebahagian besarnya terhenti sejak gencatan senjata yang dirundingkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022.Dlaam perkembangan baharu, minggu ini, Houthi mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, pengeksport minyak utama dunia termasuk menyerang kapal tangki negara itu di Laut Merah.Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan Tehran tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap situasi itu dan menawarkan bantuan bagi memulakan rundingan antara Houthi dan Arab Saudi, sambil menegaskan ‘tiada penyelesaian ketenteraan terhadap konflik itu’.Ancaman terhadap perkapalan itu berlaku serentak dengan sekatan Iran di Selat Hormuz yang kini menjadi titik ketegangan utama antara Tehran dan Washington susulan permusuhan yang kembali memuncak.Pengawal Revolusi Iran berkata pihaknya menghalang empat kapal daripada melalui laluan strategik itu dalam tempoh 24 jam lalu.Sementara itu, pemantau Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom melaporkan satu lagi insiden membabitkan sebuah kapal tangki dan pasukan tentera yang tidak dikenal pasti berhampiran Selat Hormuz hari ini.AS pula tidak mengumumkan sebarang serangan baharu ke atas Iran, kali pertama selepas 13 malam berturut-turut melancarkan pengeboman.Menurut laporan platform berita Axios, Pentagon mengemukakan rancangan kepada Presiden AS, Donald Trump, untuk meneruskan serangan bagi malam ke-14, namun beliau memutuskan untuk tidak memberi kelulusan, sebaliknya memilih menghidupkan semula usaha rundingan.Trump pada Jumaat berkata beliau masih belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran.“Kami sedang berbincang dengan mereka sekarang. Saya fikir mereka semakin serius dari hari ke hari, mungkin atas sebab yang sudah jelas,” katanya kepada wartawan.Beliau berkata Iran mempunyai dua pilihan, sama ada mencapai persetujuan atau berdepan serangan pada ‘tahap yang jauh lebih tinggi, selepas serangan AS selama dua minggu memusnahkan gencatan senjata yang dimeterai pada April.Konflik yang sebelum ini dijangka Trump hanya berlangsung selama empat atau lima minggu kini menghampiri bulan kelima dan mula menjejaskan kadar sokongan terhadap beliau menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada November.Trump turut berkata beliau tidak pasti apakah ‘titik penentu’ untuk membuat keputusan itu, namun menegaskan garis merahnya kekal sama iaitu jika Iran hampir berjaya membangunkan senjata nuklear.